Syukur ke hadrat Illahi saya dan isteri telah selamat menjalani ibadat haji bagi musim haji 2009M/1430H yang baru lalu. Saya ingin berkongsi sedikit sebanyak catatan perjalanan kami sebagai kenang-kenangan & mungkin juga sebagai panduan bakal haji. Sebenarnya perjalanan haji kami bermula seawal 2004 bila kami mendaftar haji di Tabung Haji (TH) . Ramai di kalangan kita yang beranggapan bila kita telah membuka akaun TH, kita telah mendaftar haji. Sebenarnya, kita perlu mendaftar untuk menunaikan haji di kaunter TH di mana pegawai bertugas akan mengambil maklumat tambahan seperti nama datuk sebelah ayah. Disamping itu kita mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM1300 di dalam akaun wang simpanan TH.
[nota : bagi yang mendaftar haji pada 2010, tahun haji mereka ialah pada 2030!]
Apr 2009
Kami mendapat surat tawaran dari Tabung Haji untuk pergi haji pada tahun itu dengan status menunggu. Kami pun terus menerima tawaran tersebut dengan perasaan yang berbelah-bagi. Gembira & bersyukur kerana telah terpilih menjadi tetamu Allah, walau pun ketika itu hanya dengan status menunggu. Perasaan takut turut kami rasai kerana merasakan kami belum bersedia lagi.
Apr ~ Jul 2009
Kami mengikuti kursus haji bersiri di Masjid Al Hasanah, Bdr Baru Bangi, setiap sabtu dari jam 9 hingga 11 pagi. Walaupun kami terlepas 3 siri pertama, kami masih dapat mendalami ilmu-ilmu yang diperlukan dengan tunjuk ajar yang bernas Ustaz Najib & Ustaz Solehin disamping pegawai-pegawai dari TH sendiri. Ustaz Najib merupakan ustaz yang menyediakan buku panduan haji yang diguna sebagai rujukan kursus bersiri TH. Ustaz Solehin pula mempunyai cara yang tersendiri untuk menghiburkan kami. Mereka memastikan kami faham tentang perjalanan & ibadat yang bakal dilalui. Kami memilih untuk pergi secara Muasassah memandangkan tambahan wang yang banyak diperluan bagi menyertai pakej haji. Untuk muasassah, kami membayar RM9980 seorang sementara pakej yang paling minima memerlukan RM17000 lebih.
Disamping itu, kami turut menyertai kursus haji intensif pada 27 & 28 Julai di bilik kuliah di masjid yang sama sebagai tambahan & ulangkaji.
Ogos 2009
Kami menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan Bdr Baru Bangi bagi menentukan tahap kesihatan bakal jemaah. Alhamdulillah, saya & isteri tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang boleh menghalang kami dari menyertai jemaah haji tahun ini. Kami turut diberikan suntikan Meningococcal yang diwajibkan bagi mengawal menyakit meningitis. Semua ini dicatatkan dalam buku kesihatan yang perlu ada pada setiap bakal jemaah dan perlu dibawa bersama dengan paspot. Tahun ini juga tahun pertama paspot antarabangsa digunakan untuk tujuan haji. Tiada lagi paspot haji dikeluarkan. Kami beruntung kerana pada tahun ini paspot antarabangsa diberi percuma kepada bakal haji yang belum mempunyai paspot. Walaupun demikian, paspot antarabangsa tajaan TH ini hanya untuk 3 tahun.
Oktober 2009
Kami mengikuti kursus haji perdana pada 2 & 3hb Oktober bertempat di Masjid Negeri Shah Alam. Di sini, kami diajar secara praktikal tentang ibadat haji iaitu tawaf, saie & melontar jamrah. Kami juga bermalam di masjid sebagai latihan praktikal untuk wukuf di samping menyertai qiamullail. Kami berbangga kerana Sultan Selangor turut datang merasmikan majlis & juga mengaminkan doa selamat untuk kami.
Pada 10hb Oktober, Kami mengambil barangan haji dari TH Bangi berupa beg sandang & beberapa barangan yang ditaja oleh syarikat koporat seperti selipar, berus & ubat gigi, karung kasut, ubat-ubatan & buku-buku panduan & doa. Kami juga diberi suntikan vaksin influenza yang diberi percuma tahun itu disebabkan virus H1N1 yang melanda.
Memandangkan kesihatan & stamina penting dalam pekerjaan haji, sebagai persediaan fizikal, kami berjalan kaki disekeliling taman perumahan antara 3~4km setiap hari selama beberapa minggu untuk membiasakan diri. Memandangkan musim haji semakin dekat, kami juga sering menghubungi pihak TH bagi mendapatkan makluman terkini tentang status kami. Ketika itu status kami telah bertukar menjadi "terpilih" tetapi jadual penerbangan masih belum dikeluarkan. Rupa-rupanya tahun itu memang ramai jemaah yang mengalami masalah tidak mendapat makluman penerbangan dengan cepat. Kami diberitahu masalah ini ada kaitan dengan masalah penyakit H1N1 yang melanda dunia. Setelah mengetahui status kami barulah kami mendapatkan suntikan optional vaksin pneumococcal sebagai pencegahan tambahan untuk penyakit pneumonia. Kami juga turut memastikan barangan yang perlu dibawa mencukupi. Sembahyang hajat & taubat tidak kami lupai untuk meminta ampun dan kemudahan dari Allah sepanjang perjalanan kami.
[nota : bagi para bakal haji, buatlah persediaan pakaian seminima yang mungkin. Tidak perlu bawa pakaian lebih kerana ia hanya akan menganggu perjalanan haji nanti. Untuk kain ihram, cuba cari sepasang yang berjenis kain tuala & sepasang dari jenis kain cotton supaya tidak terlampau tebal. Jangan isi beg sampai maksimum]
Pada 28hb Oktober, kami menerima SMS yang ditunggu-tunggu dari TH iaitu jadual perjalanan haji kami. Rupa-rupanya tarikh untuk melapor diri di Kelana Jaya ialah pada 1 November, 4 hari saja dari tarikh kami terima notis itu! Kami ditempatkan di dalam KT36, iaitu penerbangan ke 36 untuk tahun itu. Alhamdulillah, doa kami selama ini termakbul sudah.
1 November 2009
Kami berangkat menuju ke Kompleks Haji Kelana Jaya pada jam 6 petang supaya kami dapat bersembahyang maghrib di sana. Seperti biasa di Kelana Jaya, ramai sanak saudara menghantar para bakal jemaah untuk mengucapkan selamat jalan. Saya rasa terharu kerana selama ini sudah beberapa kali pergi ke Kelana Jaya untuk menghantar sanak saudara tapi kali ini saya sendiri yang dihantar! Kami turut diberikan paspot, tag pengenalan, boarding pass, bag galas & beberapa lagi barangan tajaan.
Pada kira-kira jam 9:30pm, jemaah mula masuk ke dewan untuk urusan penerbangan & bagasi. Perasaan sedih bercampur gembira dapat kami rasakan tambahan dengan talbiah yang berkumandang dari speaker. Kami turut diberi taklimat akhir disertai doa selamat oleh pegawai bertugas. Kira-kira jam 11pm, kami menaiki bas untuk ke KLIA. Kami berbangga dengan koordinasi polis trafik yang membolehkan bas-bas bergerak tanpa henti dari Kelana Jaya terus ke KLIA. Polis trafik menjaga setiap simpang di jalan-jalan menuju ke KLIA seperti layanan VVIP!
2 November 2009
Penerbangan kami menerusi Saudi Air SV5001 bergerak menuju Madinah seperti dirancang, iaitu pada kira-kira jam 1:30am. Apa yang menarik, kami telah mendapat kerusi dibahagian "business class" iaitu betul-betul di muncung pesawat dengan bantuan anak saudara kami yang kebetulan bertugas di Saudi Air pada masa itu.
Ketika pesawat hampir mendarat, kami begitu gembira dapat menyaksikan keindahan kota Madinah terutama pancaran cahaya di Masjid Nabawi yang jelas kelihatan dari tingkap pesawat. Keindahan ditambah pula dengan adanya bulan mengambang penuh waktu subuh yang seakan-akan memancar tepat di Masjid Nabawi.
Pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah pada jam 5:30 pagi Semasa di lapanganterbang, kami kelam kabut untuk mengejar waktu solat subuh yang habis kira-kira jam 6:30am di tempat menunggu dengan ruang & bilik air yang amat terhad berbanding jumlah jemaah sekitar 400 orang. Walau bagaimanapun, alhamdulillah urusan imigresen & bagasi dapat selesai & kami mula bertolak dengan bas pada jam 7:30 pagi. Menariknya, kami tidak perlu mengambil bag besar di lapanganterbang. Beg-beg siap dibawa ke bas oleh pihak TH. Paspot kami diserahkan kepada pegawai muasassah.
[nota : bagi bakal haji yang mungkin mengalami masalah yang serupa , bersiap sedialah dengan bekalan air sembahyang dalam botol & terus ambil air sembahyang setibanya di lapanganterbang & bersolatlah tanpa menunggu arahan pihak TH. Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di bilik air & ruang menunggu]
Kami ditempatkan di Hotel Al Haram, Madinah yang terletak di bahagian utara Masjid Nabawi. Untuk kemudahan kami, beg-beg besar dihantar terus ke tingkat kami tinggal. Jarak hotel berkenaan hanya 80m saja dari masjid. Kami duduk di tingkat 6 hotel di bilik berasingan lelaki & perempuan berserta 4 orang jemaah yang lain. Untuk muasassah, hanya makan tengahari & malam saja yang disediakan, melainkan hari pertama yang turut disediakan sarapan. Walau bagaimanapun, air panas, teh & gula disediakan di dewan makan yang terletak di bahagian basement hotel. Makanan berupa roti, kebab dan ayam goreng & panggang senang didapati di sekitar hotel tidak kira waktu.
Solat pertama kami di Masjid Nabawi ialah waktu zohor 2 November. Perasaan terharu & gembira menyelubungi jiwa sewaktu melangkah kaki buat pertama kali masuk ke Masjid Nabawi. Jemaah lelaki & perempuan masuk dari pintu yang berasingan yang dikawal oleh petugas masjid.
3 November
Pihak TH juga menyediakan ziarah dalam & luar untuk para jemaah mengikut KT masing-masing. Ziarah ini elok jangan ditinggalkan terutama bagi mereka yang belum pernah sampai ke sana. Ziarah dalam ialah lawatan di dalam kawasan masjid iaitu di kawasan yang di panggil Raudhah dan makam-makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Kami mengikuti ziarah dalam pada hari kedua di Madinah. Di musim haji, para jemaah bersesak-sesak untuk masuk ke kawasan Raudhah untuk bersembahyang & berdoa. Saya berkesempatan masuk ke Raudhah untuk bersembahyang sunat dua rakaat. Isteri saya juga turut berkesempatan masuk mengikut waktu masuk untuk wanita.
4 ~ 9 November
Pada hari ketiga di Madinah pada 4 November, kami mengikuti ziarah luar dengan menaiki bas. Kami di bawa ke Masjid Quba' di mana kami berhenti untuk bersembahyang sunat. Hadis Nabi ada menyebut tentang kelebihan Masjid Quba' ini di mana kita mendapat pahala seperti umrah bagi mereka yang pergi untuk bersembahyang di sana. Kami juga di bawa melawat perkuburan Uhud, ladang kurma & beberapa buah masjid yang ada sejarahnya yang tersendiri di zaman Nabi.
Di Madinah, kami pastikan solat berjemaah di Masjid Nabawi dijaga kerana berada di Madinah cuma 9 hari saja. Hadis Nabi menyebut bahawa satu kali sembahyang di sini pahalanya bersamaan 1000 kali sembahyang di masjid lain, selain dari Masjidilharam. Selain itu, kami turut mengambil peluang membeli-belah di kedai-kedai sekeliling Masjid Nabawi. Kami dapati jubah & quran murah harganya & sesuai untuk dijadikan cenderahati. Selain itu, kami turut membeli kurma & kekacang seperti jemaah yang lain. Untuk menyenangkan pergerakan, kami mengeposkan barang-barang ke Malaysia sebelum bertolak ke Mekah. Dua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan ini meletakkan wakil mereka di hotel untuk memudahkan jemaah. Caj yang dikenakan ialah RM15/kg. Barangan biasanya sampai dalam masa 10 hari.
Selain sembahyang, saya juga telah membuat target untuk diri saya sendiri untuk menghatam quran sebanyak 3 kali sepanjang saya di tanah suci. Ini adalah nasihat dari kawan saya supaya kita tahu apa yang hendak dilakukan sepanjang duduk di Masjid. Jika tidak, mungkin kita akan termenung & tertidur sambil menunggu waktu sembahyang.
Saya mula mendapat sakit tekak di Madinah & pergi mendapatkan rawatan di klinik TH yang terletak di hotel.
10 November
Tibalah harinya untuk kami bergerak ke Mekah dengan bas. Selepas subuh saya pergi melawat makam nabi untuk menguxapkan salam selamat tinggal. Kami diarah mengenakan pakaian ihram dan bersedia untuk menaiki bas selepas waktu Asar. Kira-kira jam 4 petang bas bergerak menuju ke Bir Ali di pinggir kota Madinah. Kami bertalbiah beramai-ramai sepanjang perjalanan. Malangnya pemandu bas telah sesat dan tiba di masjid Bir Ali kira-kira jam 5:45 petang walau pun jarak dari hotel ke masjid sebenarnya dekat sahaja. Kami melakukan solat jamak maghrib & isyak, solat mussafir & juga solat sunat ihram sebelum berniat ihram. Sebahagian besar dari kami memilih untuk buat haji tamattuk iaitu kaedah di mana kami akan melakukan umrah terlebih dahulu sebelum haji.
[nota : Haji ifrad memerlukan kita melakukan haji dahulu diikuti dengan umrah. Jemaah tidak digalakkan memilih haji ifrad jika tarikh memasuki Mekah dauh dari waktu wukuf. Ini kerana jemaah akan berada dalam ihram dalam waktu yang lama]
Perjalanan bas dari Madinah ke Mekah mengambil kira-kira 8 jam bergantung kepada keadaan trafik & juga cara pemanduan. Kami berhenti di satu tempat persinggahan yang kecil untuk berehat. Kami berasa sedikit kecewa kerana di sepanjang perjalanan itu banyak lagi tempat persinggahan yang lebih baik keadaannya yang sepatutnya menjadi tempat berhenti. Kami juga berhenti di checkpoint dimana paspot kami diperiksa. Apabila bas mula masuk ke kawasan bandar Mekah, kami membaca doa yang terdapat di dalam buku doa yang diberi.
11 November
Kami tiba di hotel kira-kira jam 1:30 pagi. Kami dinasihat supaya berehat untuk bersedia melakukan tawaf keesokan harinya. Walau bagaimanapun kami perlu menjaga pantang-larang ihram sehingga habis saie. Ada juga diantara kami yang telah biasa datang ke Mekah melakukan tawaf sejurus tiba. Kami ditempatkan di Maktab 81 iaitu di hotel Burj Abbas. Kami diberi bilik di tingkat 6 bersama 3 orang jemaah yang lain. Bilik saya dan isteri cuma selang 2 pintu sahaja. Maktab 81 terdiri daripada beberapa KT berjumlah kira-kira 3000 orang.
Kami bersembahyang subuh di surau di hotel tersebut. Satu sessi penerangan turut diberikan sebagai panduan untuk kami melakukan tawaf. Pada jam 8 pagi, kami berkumpul di depan hotel & bergerak secara berkumpulan berjalan kaki menuju ke Masjidilharam, iaitu kira-kira 1km ke selatan masjid. Isteri saya tidak dapat turut serta kerana uzur Syarie. Masjidilharam adalah masjid terbesar di dunia dimana terletaknya Kaabah iaitu Baitullah (Rumah Allah) tempat orang Islam mengadap ketika sembahyang. Bersembahyang di masjid ini pahalanya sama seperti 100,000 kali sembahyang di tempat lain. Kami masuk di pintu no.1 yang diberi nama pintu Raja Aziz (King Aziz Gate). Di masjid ini tiada dikhaskan pintu untuk lelaki & wanita. Walau bagaimanapun, jemaah wanita diperiksa beg masing-masing. Jemaah lelaki selalunya tidak diperiksa sedemikian. Pada hari itu dapatlah saya melihat Kaabah buat pertama kali sambil berdoa. Pintu no.1 juga merupakan pintu yang terus menuju ke Kaabah di rukun (sudut) yamani yang memudahkan untuk kita bergerak mengikut arus pergerakan manusia di dataran Kaabah ke rukun hajarul aswad, tempat permuaan tawaf. Setelah berada di dataran Kaabah, dapatlah saya melihat Kaabah dengan lebih dekat lagi. Para jemaah memang ramai dan berasak-asak. Saya menghabiskan tawaf dalam masa kira-kira 70 minit. Saya memilih untuk tidak mengikut kumpulan kerana berasa lebih senang untuk bergerak sendiri dalam keadaan berasak-asak begitu. Setelah tawaf, saya mencari tempat untuk bersembahyang sunat tawaf. pada ketika itu saya rasa terharu yang amat sangat memandangkan selama ini kita bersembahyang mengadap kiblat, tapi pada hati itu kiblat betul-betul di depan mata! SubhanAllah!
[nota : hendaklah kita ingat nombor pintu-pintu dari arah Kaabah supaya kita tak tersesat ketika balik. Contohnya, pintu no.1 di tanda dengan warna hijau yang boleh kelihatan dari arah dataran Kaabah]
Saya terus mencari air zam-zam yang banyak terdapat di sekitar masjid, untuk minum sambil berdoa. Saya bergerak sendiri ke Bukit Safa, tempat permulaan saie. Saya dapat mengagak dengan senang di mana letaknya bukit Safa setelah mengkaji peta masjid yang terdapat dalam buku sebelum ini. Bukit Safa terletak paling hampir dengan rukun hajarul aswad.
Saya pun melakukan Saie secara bersendirian. Orang tidaklah seramai sewaktu tawaf tadi. Setelah beberapa pusingan saya berhenti di pertengahan untuk minum air zam-zam. Selepas minum saya tidak perasan lantai tempat minum itu tinggi sedikit berbanding lantai tempat saie lalu saya terjatuh ke lantai tempat saie. Nasib baik tiada orang yang langgar saya dari belakang pula. Saya terus menghabiskan saie di Bukit Marwah, bergunting sambil berdoa. Maka selesailah sudah umrah saya. Memandangkan jam baru pukul 11 lebih, saya mengambil tempat untuk bersolat sunat sambil menunggu waktu Zohor iaitu pada jam 12:10 tengahari. Selepas Zohor saya pun pulang ke hotel secara bersendirian. Alhamdulillah, saya tidak mengalami masalah mencari jalan pulang!
12 ~ 24 November
Waktu-waktu dihabiskan dengan pergi ke Masjidilharam untuk bersembahyang 5 waktu. Saya juga melakukan tawaf sunat beberapa kali. Apabila isteri sudah suci, saya menemani beliau untuk melakukan tawaf & saie umrahnya. Makanan tengahari & malam disediakan oleh pihak TH secara aluminium pack yang diambil dari salah satu tingkat bawah hotel. Selalunya saya dan isteri membawa makanan balik ke tingkat bilik kami & makan bersama-sama di meja yang disediakan. Untuk sarapan kami selalu membeli roti atau cornflake yang mudah didapati di supermarket. Sekali-sekala kami turut membeli burger & ayam goreng di luar untuk merubah selera. Kami juga pergi ke restoran d'saji kepunyaan Felda yang terletak berhampiran Masjidilharam untuk mendapatkan makanan selera Malaysia seperti roti canai & nasi lemak.
Kami turut melakukan umrah sunat dengan pergi ke Masjid Siti Aisyah di Tana'im untuk berniat umrah. Kami tidak dapat melakukan umrah banyak kali seperti jemaah lain kerana saya mendapat batuk yang teruk hingga sakit dada. Lagi pula, kami berasa takut untuk menaiki van ke Tana'im kerana cara pemanduan yang sangat bahaya. Kami mengambil peluang untuk berdoa di Bukit Safa pada waktu Asar yang merupakan salah satu tempat & waktu yang mustajap untuk berdoa. Lain-lain tempat seperti di Hijir Ismail dan multazam begitu sukar untuk ditempuhi dengan jemaah yang sangat ramai.
Sakit dada saya semakin teruk sepanjang di Mekah akibat batuk yang berpanjangan & beberapa kali mendapatkan ubat di klinik di samping ubat-ubat lain di farmasi luar. Sarung tutup muka yang saya sentiasa pakai nampaknya tidak membantu. Ada beberapa hari saya berehat di hotel dan tidak ke masjid kerana demam. Di dalam beg yang saya bawa sentiasa ada botol yang diisi air zam-zam yang senang didapati di masjid untuk membantu memulihkan kesihatan dan tenaga.
Di Masjidilharam, masa yang paling sibuk ialah pada hari Jumaat beberapa hari sebelum wukuf. Isteri saya memberitahu ada jemaah yang bersembahyang di jalan di luar hotel iaitu 1km dari masjid! Saya memang tidak membenarkan isteri pergi bersembahyang Jumaat kerana lebih afdal wanita bersembahyang zohor di hotel sahaja. Ini berlainan dengan di Madinah di mana memang ada kawasan sembahyang untuk wanita termasuk waktu Jumaat.
25 November - Hari Tarwiyah
Pada hari ini yang dikenali sebgai hari tarwiyah (satu hari sebelum wukuf), hujan telah turun buat pertama kali sepanjang kami di tanah suci. Dengarnya hujan yang agak lebat dan lama ini turut membanjiri kawasan Kaabah. Disebabkan kami akan bergerak ke Arafah, kami tidak digalakkan lagi untuk pergi ke Masjidilharam untuk Zohor. Kerana ramai jemaah dalam satu maktab, bas-bas bergerak bermula jam 11 pagi sehingga habis semua jemaah dihantar. Kami hanya perlu membawa beg sandang cukup untuk keperluan 5 hari sahaja untuk ke sana. Kami pun bersiap dengan mengenakan pakaian ihram. Bas yang membawa kami KT36 bergerak kira-kira jam 4 petang lebih menuju Arafah. Apabila bas mula bergerak, kami pun berniat ihram haji di dalam bas. Alhamdulillah, walaupun hujan, bas kami berjalan lancar dan tiba di perkhemahan Arafah jam 5:30 petang.
Di Arafah, kami dapati carpet kami basah disebabkan hujan. Kami menggunakan plastik untuk melapik ruang tidur kami. Waktu Maghrib & Isyak dilakukan secara jamak tamam iaitu jamak tanpa qasar dengan diimamkan ustaz TH yang sungguh berdedikasi memberikan khidmatnya. Pada sebelah malamnya kami mengikuti pula qiamullail. Makanan disediakan oleh pihak muasassah berupa sarapan, makan tengahari & makan malam secara aluminium pack.
26 November - Hari Wukuf
Waktu wukuf bermula bila masuk waktu Zohor. Selepas Subuh, saya gunakan masa untuk berehat & bersiar-siar di sekitar khemah. Saya & isteri turut keluar ke Maktab lain untuk berjumpa dengan saudara angkat kami. Bila masuk waktu Zohor, bacaan kutbah arafah pun dibaca oleh ustaz diikuti dengan solat jamak Zohor & Asar. Selepas itu kami memperbanyakkan solat-solat sunat dan doa kerana waktu itulah langit dibuka dan ibadat & doa jemaah haji diterima oleh Allah. Kemuncak wukuf ialah sebelum Maghrib dimana jemaah keluar dari khemah untuk berdoa mengadap langit dengan dipimpin oleh ustaz Shihabudin, guru ugama untuk maktab 81. Kami sempat bersembahyang jamak Maghrib & Isyak sebelum bas-bas kami membawa kami ke Mudzalifah pula.
Pada malam itu di Mudzalifah, kami cuma ditempatkan di tanah lapang mengikut maktab dan KT masing-masing. Di sini kami turut berdoa & berborak kosong bagi mengisi masa duduk di dalam keadaan yang agak gelap. Kami turut mengutip anak batu bagi tujuan melontar di Jamratul Qubra nanti. Saya sempat juga tidur berbantalkan beg disebabkan bas mengambil masa yang lama untuk menghantar kami ke Mina.
27 November - Hari Raya Korban
Kami menaiki bas sebelum waktu Subuh dan kedengaran azan Subuh dari radio yang membawa secara langsung dari Masjidilharam ketika di dalam bas. Bas kami tiba di perkhemahan di Mina kira-kira jam 5:30 pagi. Di Mina, khemah juga diatur menurut Maktab & KT. Kami sembahyang subuh berjemaah di dalam khemah masing-masing. Menurut perancangan pihak TH, kami akan pergi melontar Jamratul Qubra pada sebelah malam selepas Isyak. Disebabkan menunggu masa yang panjang dari Subuh hingga Isyak, sebahagian kami memutuskan untuk pergi sendiri dengan kebenaran pihak TH. Saya & isteri menyertai beberapa rakan yang lain untuk pergi melontar pada jam 8 pagi. Jarak perjalanan dari kemah ke tempat melontar adalah sekitar 1.5km menempuhi terowong. Sepanjang perjalanan kami bersesak-sesak dengan jemaah haji dari negara lain seperti Indonesia, Pakistan & Turki. Walau bagaimanapun tiada perkara yang tidak diingini terjadi. Di Jamratul, kami mendapati tidak begitu ramai orang yang melontar kerana kawasan melontar telah dibuat bertingkat-tingkat dan luas. Kami tidak menghadapi masalah untuk melontar. Cuma saya ada juga terkena batu di kepala akibat lontaran jemaah negara lain yang melontar dari jauh. Setelah melontar, kami berdoa & menggunting rambut. Alhamdulillah, akhirnya kami telah terlepas dari 10 perkara larangan dalam ihram.
Apabila pulang ke khemah, kami terus menukar pakaian biasa dan berehat. Makanan disediakan sama seperti di Arafah iaitu sarapan, makan tengahari & malam. Walau pun hari ini merupakan hari raya haji, sebenarnya tiada sembahyang raya diperuntukkan bagi jemaah haji. Kami turut mendirikan sembahyang waktu secara jemaah dan jamak tamam dengan diimamkan oleh salah seorang jemaah.
28 ~ 30 November - Hari Tasyrik
Pada 3 hari tasyrik, kami perlu pergi melontar ketiga-tiga Jamrah iaitu Jamratul Sughra, Wusta & Qubra, atau bahasa Melayunya kecil, sederhana & besar. Pada sebelah malam, kami pergi ke tepi bukit berhampiran khemah untuk mengutip anak-anak batu. Kami pergi melontar pada waktu pagi dalam pukul 7 pada setiap hari itu. Pergerakan jemaah & keadaan di Jamrah juga tidak banyak berbeza berbanding hari pertama dahulu. Di Mina, cabaran yang lebih hebat ialah kerana kekurangan bilik air. pada waktu puncak, seramai 20 orang atau lebih beratur menunggu di setiap pintu bilik air. Jemaah wanita menghadapi keadaan yang lebih teruk mungkin disebabkan wanita lebih lama di bilik air. Waktu puncak ialah kira-kira 1 jam sebelum masuk waktu sembahyang. Untuk mengelakkan ini, saya akan hanya menggunakan bilik air selepas sembahyang waktu. Untuk mengambil sembahyang cukup dengan air botol sahaja tanpa perlu ke bilik air. Alhamdulillah, saya tidak mengalami masalah besar tentang bilik air cuma perlu bertahan sedikit sebelum Subuh. Masa-masa lapang diisi dengan membaca quran & bersiar-siar di luar khemah yang dipenuhi oleh penjual-penjual cenderamata seperti cincin, jam, selendang dan tasbih.
Pada hari terakhir 30 November selepas habis melontar, kami bersiap-siap untuk pulang ke Mekah. Selepas bersembahyang jemaah dan jamak Zohor & Asar, kami pun menaiki bas dan sampai kira-kira jam 2 petang. Saya dan isteri tidak bercadang untuk melakukan tawaf & saie pada hari itu kerana mendengar nasihat TH yang menyruh kami berehat dahulu pada hari itu. Kebetulan pula malamnya saya mendapat demam.
1 Disember
Saya hanya bersolat di hotel sahaja untuk mendapatkan rehat yang lebih. Pada kira-kira pukul 11 malam barukah saya dan isteri pergi ke Masjidilharam untuk melakukan tawaf & saie bagi melengkapkan pekerjaan haji kami. Tawaf & saie pada malam itu boleh dikatakan sesak juga dengan para jemaah yang turut ingin menghabiskan ibadat haji mereka. Walau bagaimanapun perjalanan kami agak lancar. Setelah selesai tawaf & saie, kami berasa amat gembira dan bersyukur kerana ibadah haji telah kami lakukan dengan jayanya. Setelah keluar dari masjid, kami terus pergi ke kedai gunting rambut untuk bercukur. Saya hanya bercukup menggunakan mesin cukur tahap minima dan tidak mencukur licin rambut saya.
2 ~ 12 Disember
Masa ini dihabiskan dengan menunaikan solat berjemaah, solat sunat dan mengaji Quran di Masjidilharam dan juga bersiar-siar membeli barang untuk dibawa pulang. Saya masih lagi sakit dada dan batuk dan turut melawat doktor TH. Saya dan isteri dapat juga melakukan umrah sunat dan tawaf sunat. Alhamdulillah, saya turut berjaya menghatam Quran sebanyak tiga kali seperti yang telah saya rancangkan. Biasanya saya membaca diantara 40 hingga 50 mukasurat setiap hari untuk mencapai target tersebut. Disamping itu pihak TH turut mengadakan ceramah ugama berkenaan haji. TH ada juga mengadakan tahlil dan doa selamat dengan jamuan nasi kambing yang sungguh menyelerakan.
13 Disember
Pada hari-hari terakhir kami di tanah suci, kami membeli barang dan juga sibuk mengemas beg untuk pulang. Kami pastikan berat beg tidak melebihi 30kg seorang. Kami membantu satu sama lain untuk menimbang beg-beg. Ada diantara jemaah yang membeli barang di saat-saat akhir dan kelam kabut untuk mengemas dan mengepos barang. Kami juga mendengar taklimat terakhir berkenaan tawaf wadak dan juga destinasi teakhir kami di Jeddah. Pada malam itu saya melakukan tawaf wadak kira-kira jam 11 malam. Perasaan sedih menyelubungi kalbu menyertai doa kami agar kami dapat lagi datang untuk bertemu Kaabah di masa depan.
14 Disember
Setelah pulang dari Masjidilharam mengerjakan tawaf wadak, kami berehat menunggu bas yang akan membawa kami ke Jeddah. Bas kami bergerak kira-kira jam 3 pagi menuju Jeddah. Sekali lagi bas kami menghadapi masalah kerana pemandu tidak tahu jalan menuju ke tempat penginapan kami di Jeddah. Akhirnya dengan bantuan polis trafik, kami dapat juga sampai. Tempat penginapan kami dipanggil Madinatul hujjaj pada jam 5:30 pagi. Kami diberi bilik asrama untuk tujuan berehat menunggu masa penerbangan balik. Tempat ini turut disediakan dengan surau, klinik dan gerai makan. Saya turut mengambil kesempatan untuk melawat doktor untuk kali terakhir. Kami sempat juga menjamu selera dengan roti canai dan teh tarik di gerai di dalam kawasan itu.
Di sini juga beg-beg kami diperiksa berat dan dibawa untuk check in. Kami hanya perlu membawa beg sandang untuk ke lapanganterbang nanti.
Pada sebelah malamnya kami berehat sehingga panggilan untuk menaiki bas dibuat. Kami dapat tahu yang jadual penerbangan kami ditangguh dari jam 7 pagi hingga 10 pagi. Dalam pukul 4 pagi barulah kami menaiki bas untuk ke Terminal Haji, Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.
15 Disember
Setelah tiba di Terminal Haji kami bergegas untuk menunaikan solat Subuh yang pendek waktunya. Kami diberi paspot dan boarding pass oleh pihak TH. Selepas itu kami menunggu lagi sehinggalah kami dipanggil untuk bergerak ke kaunter imigresen & seterusnya ke terminal kapalterbang. Kami diberi hadiah berupa senaskah Al-Quran oleh pihak kerajaan Arab Saudi.
Pesawat Saudi Air SV5000 bergerak lancar menuju destinasi. Ada seorang jemaah mendapat sesak dada dan mendapat rawatan sementara oleh salah seorang jemaah yang bertugas sebagai jururawat. Pihak KLIA juga diberitahu untuk bersedia dengan ambulan setibanya pesawat di KLIA. Pesawat selamat mendarat jam 11:30 malam. Di lapanganterbang, kami diberi 5 liter air zam-zam setiap satu untuk dibawa pulang sewaktu mengambil bagasi. Pada jam 1:30 pagi barulah kami dapat keluar dan disambut keluarga yang sudah lama menunggu kepulangan kami ke tanah air.
Begitulah catatan sedikit sebanyak yang dapat saya gambarkan. Perjalanan haji yang tidak akan kami lupakan sepanjang hayat.